Sabtu, 31 Januari 2009

Setiausaha Syarikat Digalak Guna E-penyerahan

Utusan Malaysia : 28/01/2008


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah
Malaysia (MAICSA) menggalakkan setiausaha syarikat supaya menggunakan perkhidmatan e-penyerahan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi perkhidmatan syarikat dan berkaitan perniagaan.
"E-penyerahan adalah kemudahan yang ditawarkan oleh SSM bagi membolehkan laporan syarikat dan dokumen syarikat berkanun diserahkan secara elektronik," kata Presiden MAICSA Akbar Moidunny dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, selain daripada komuniti perniagaan dan bakal pelabur, setiausaha syarikat juga akan mendapat manfaat dengan menggunakan perkhidmatan itu. Akbar berkata, perkhidmatan itu juga membantu menjimatkan masa dan kos berniaga dan menyediakan borang yang boleh difailkan secara dalam talian di pejabat. "Dengan e-penyerahan, sepatutnya hampir kepada tiada dokumen di salah letak dan kurang denda kerana laporan lewat, pastinya melegakan banyak setiausaha syarikat," katanya. Kosnya ialah RM120 setahun bagi perkhidmatan berkaitan syarikat dan RM5 setahun bagi perkhidmatan berkaitan perniagaan.

- Bernama

SSM: Penyerahan Penyata Akaun Syarikat Naik 94%

Utusan Malaysia : 12/02/2008


Abdul Karim Abdul Jalil (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff selepas majlis menandatangani MoU antara ssm dengan MIA di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 11 Feb. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menetapkan sasaran kadar pematuhan penyerahan penyata akaun syarikat-syarikat akan meningkat kepada 94 peratus pada tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan kadar pematuhan penyerahan penyata akaun syarikat, sejak penguatkuasaan secara agresif dilaksanakan empat tahun lalu. Menurutnya, kadar penyerahan yang dicapai oleh SSM pada tahun 2003 hanya 43 peratus, tetapi meningkat kepada 64 peratus pada tahun 2004, 71 peratus (2005) dan 90 peratus pada tahun lalu. Katanya, kadar pematuhan penyerahan penyata akaun pada tahun lalu itu telah melepasi sasaran SSM iaitu 85 peratus. Abdul Karim berkata, kadar pematuhan penyerahan penyata akaun yang dicapai oleh Malaysia itu setanding dengan Hong Kong (89 peratus), New Zealand (94 peratus), Singapura (90 peratus) dan United Kingdom (92 peratus). ‘‘Berdasarkan perkembangan itu, pada tahun ini, saya yakin SSM mampu mencapai kadar pematuhan penyerahan sebanyak 94 peratus,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini, hari ini. Jelas beliau, pendekatan penguatkuasaan seimbang itu dibuat untuk memberi kesedaran kepada syarikat-syarikat Malaysia tentang betapa pentingnya mereka membuat penyerahan penyata akaun kepada SSM, seperti mana Bursa Malaysia dan pihak berkuasa yang lain. Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 801,000 syarikat dan 3.5 juta perniagaan telah mendaftar dengan SSM. Mengenai perjanjian yang ditandatangani hari ini, Abdul Karim berkata, MoU itu membolehkan MIA terlibat dalam program-program latihan yang dijalankan di akademi latihan SSM. Presiden MIA, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff pula berkata, firma itu berminat untuk bekerjasama dengan SSM bagi meningkat tadbir urus syarikat pada
tahap yang lebih baik.

SSM Dakwa Bekas Pengarah

Utusan Malaysia : 02/08/2008


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini
mendakwa bekas Pengarah Bumi Rija Sdn. Bhd., Liew Vui Yin di bawah Seksyen 125(1), Akta Syarikat 1965. SSM dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, Vui Yin didakwa kerana dia bertindak sebagai pengarah syarikat itu semasa masih diisytihar bankrap antara 28 Mei 2007 hingga 3 Disember 2007. Menurutnya, jika didapati bersalah, Vui Yin akan dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara kurang lima tahun atau kedua-duanya. Bagaimanapun, jelasnya lagi, Vui Yin mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan tersebut. Tambahnya, dakwaan itu menunjukkan usaha berterusan SSM untuk memastikan
Akta Syarikat dipatuhi dan dikuatkuasakan secara efektif. Di samping itu, kata kenyataan itu, SSM juga mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengarah syarikat agar mereka tidak melakukan kesalahan
yang sama pada masa akan datang

Lesen PBT Sahaja Tidak Mencukupi

Utusan Malaysia : 11/08/2008


PUCHONG Mendapat lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tidak mencukupi untuk seseorang itu memulakan perniagaan.Orang ramai perlu menyedari bahawa mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah satu kewajipan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) SSM, Zahrah Abdul Wahab Fenner berkata, secara asasnya, apa sahaja kegiatan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan dan bersifat statik perlu mendaftar dengan SSM. "Tidak mahal, hanya sekadar RM30 bagi kedai menggunakan nama sendiri manakala RM60 pula akan dikenakan kepada peniaga yang mendaftar atas nama komersial,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat keperluan mendaftarkan perniagaan anjuran SSM dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Puchong Indah di sini baru-baru ini. Katanya, dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, peniaga boleh mendaftar menggunakan sistem e-lodgement SSM yang hanya mengambil masa
kurang daripada satu jam. "Tanpa orang tengah atau ejen, semua urusan pendaftaran telah dipermudahkan,'' katanya. Beliau berharap kerjasama antara SSM dan PBT dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang supaya maklumat tentang peranan SSM dapat disebar luas. Sementara itu, seramai 150 hingga 200 peniaga sekitar Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Puchong dan USJ mendaftarkan perniagaan mereka di
kaunter yang dibuka oleh SSM. Mereka juga diberi beberapa taklimat penting mengenai kepentingan mendaftarkan perniagaan. Menurut statistik SSM, sehingga Jun lalu, bilangan individu yang mendaftarkan perniagaan di kawasan MPSJ merupakan antara yang paling tinggi di Selangor iaitu 17.7 peratus atau 738,802 peniaga. Bagi pendaftaran syarikat pula, sebanyak 161,395 telah berdaftar atau 11.7 peratus daripada jumlah keseluruhan negeri Selangor.

Pengarah Realiti Mampu Didakwa di bawah Akta Syarikat

Utusan Malaysia : 21/10/2008


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pengarah syarikat Realiti Mampu Sdn. Bhd., Abd. Kader Othman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas tiga tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.
Abd. Kader didakwa memegang jawatan pengarah syarikat tersebut sedangkan dia masih diisytihar muflis antara 16 Julai 2003 dan 14 November 2007. Dia dituduh di bawah Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Abd. Kader turut didakwa atas dua tuduhan di bawah Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 kerana mengemukakan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Abd. Kader dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 dan menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes itu. Pada Jumaat lalu, Timbalan Presiden Eksekutif Sumber Manusia Kumpulan Sime
Darby Holdings Berhad, Mohamed Ishak Abd. Hamid telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal mengemukakan maklumat kepada pegawai penyiasat SSM.

Pengarah Realiti Mampu Didakwa di bawah Akta Syarikat

Utusan Malaysia : 21/10/2008

Pengarah Realiti Mampu Didakwa di bawah Akta Syarikat