Sabtu, 31 Januari 2009

SSM: Penyerahan Penyata Akaun Syarikat Naik 94%

Utusan Malaysia : 12/02/2008


Abdul Karim Abdul Jalil (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff selepas majlis menandatangani MoU antara ssm dengan MIA di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 11 Feb. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menetapkan sasaran kadar pematuhan penyerahan penyata akaun syarikat-syarikat akan meningkat kepada 94 peratus pada tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan kadar pematuhan penyerahan penyata akaun syarikat, sejak penguatkuasaan secara agresif dilaksanakan empat tahun lalu. Menurutnya, kadar penyerahan yang dicapai oleh SSM pada tahun 2003 hanya 43 peratus, tetapi meningkat kepada 64 peratus pada tahun 2004, 71 peratus (2005) dan 90 peratus pada tahun lalu. Katanya, kadar pematuhan penyerahan penyata akaun pada tahun lalu itu telah melepasi sasaran SSM iaitu 85 peratus. Abdul Karim berkata, kadar pematuhan penyerahan penyata akaun yang dicapai oleh Malaysia itu setanding dengan Hong Kong (89 peratus), New Zealand (94 peratus), Singapura (90 peratus) dan United Kingdom (92 peratus). ‘‘Berdasarkan perkembangan itu, pada tahun ini, saya yakin SSM mampu mencapai kadar pematuhan penyerahan sebanyak 94 peratus,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini, hari ini. Jelas beliau, pendekatan penguatkuasaan seimbang itu dibuat untuk memberi kesedaran kepada syarikat-syarikat Malaysia tentang betapa pentingnya mereka membuat penyerahan penyata akaun kepada SSM, seperti mana Bursa Malaysia dan pihak berkuasa yang lain. Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 801,000 syarikat dan 3.5 juta perniagaan telah mendaftar dengan SSM. Mengenai perjanjian yang ditandatangani hari ini, Abdul Karim berkata, MoU itu membolehkan MIA terlibat dalam program-program latihan yang dijalankan di akademi latihan SSM. Presiden MIA, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff pula berkata, firma itu berminat untuk bekerjasama dengan SSM bagi meningkat tadbir urus syarikat pada
tahap yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan