Sabtu, 31 Januari 2009

Setiausaha Syarikat Digalak Guna E-penyerahan

Utusan Malaysia : 28/01/2008


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah
Malaysia (MAICSA) menggalakkan setiausaha syarikat supaya menggunakan perkhidmatan e-penyerahan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi perkhidmatan syarikat dan berkaitan perniagaan.
"E-penyerahan adalah kemudahan yang ditawarkan oleh SSM bagi membolehkan laporan syarikat dan dokumen syarikat berkanun diserahkan secara elektronik," kata Presiden MAICSA Akbar Moidunny dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, selain daripada komuniti perniagaan dan bakal pelabur, setiausaha syarikat juga akan mendapat manfaat dengan menggunakan perkhidmatan itu. Akbar berkata, perkhidmatan itu juga membantu menjimatkan masa dan kos berniaga dan menyediakan borang yang boleh difailkan secara dalam talian di pejabat. "Dengan e-penyerahan, sepatutnya hampir kepada tiada dokumen di salah letak dan kurang denda kerana laporan lewat, pastinya melegakan banyak setiausaha syarikat," katanya. Kosnya ialah RM120 setahun bagi perkhidmatan berkaitan syarikat dan RM5 setahun bagi perkhidmatan berkaitan perniagaan.

- Bernama