Sabtu, 31 Januari 2009

Lesen PBT Sahaja Tidak Mencukupi

Utusan Malaysia : 11/08/2008


PUCHONG Mendapat lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tidak mencukupi untuk seseorang itu memulakan perniagaan.Orang ramai perlu menyedari bahawa mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah satu kewajipan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) SSM, Zahrah Abdul Wahab Fenner berkata, secara asasnya, apa sahaja kegiatan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan dan bersifat statik perlu mendaftar dengan SSM. "Tidak mahal, hanya sekadar RM30 bagi kedai menggunakan nama sendiri manakala RM60 pula akan dikenakan kepada peniaga yang mendaftar atas nama komersial,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat keperluan mendaftarkan perniagaan anjuran SSM dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Puchong Indah di sini baru-baru ini. Katanya, dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, peniaga boleh mendaftar menggunakan sistem e-lodgement SSM yang hanya mengambil masa
kurang daripada satu jam. "Tanpa orang tengah atau ejen, semua urusan pendaftaran telah dipermudahkan,'' katanya. Beliau berharap kerjasama antara SSM dan PBT dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang supaya maklumat tentang peranan SSM dapat disebar luas. Sementara itu, seramai 150 hingga 200 peniaga sekitar Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Puchong dan USJ mendaftarkan perniagaan mereka di
kaunter yang dibuka oleh SSM. Mereka juga diberi beberapa taklimat penting mengenai kepentingan mendaftarkan perniagaan. Menurut statistik SSM, sehingga Jun lalu, bilangan individu yang mendaftarkan perniagaan di kawasan MPSJ merupakan antara yang paling tinggi di Selangor iaitu 17.7 peratus atau 738,802 peniaga. Bagi pendaftaran syarikat pula, sebanyak 161,395 telah berdaftar atau 11.7 peratus daripada jumlah keseluruhan negeri Selangor.