Sabtu, 31 Januari 2009

Pengarah Realiti Mampu Didakwa di bawah Akta Syarikat

Utusan Malaysia : 21/10/2008


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pengarah syarikat Realiti Mampu Sdn. Bhd., Abd. Kader Othman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas tiga tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.
Abd. Kader didakwa memegang jawatan pengarah syarikat tersebut sedangkan dia masih diisytihar muflis antara 16 Julai 2003 dan 14 November 2007. Dia dituduh di bawah Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Abd. Kader turut didakwa atas dua tuduhan di bawah Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 kerana mengemukakan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Abd. Kader dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 dan menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes itu. Pada Jumaat lalu, Timbalan Presiden Eksekutif Sumber Manusia Kumpulan Sime
Darby Holdings Berhad, Mohamed Ishak Abd. Hamid telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal mengemukakan maklumat kepada pegawai penyiasat SSM.