Sabtu, 31 Januari 2009

Syarikat Bersama Dua Pengarah Didenda

Utusan Malaysia: 05/12/2008


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Syarikat OCH Properties Management Sdn. Bhd. dan dua pengarahnya didenda RM63,700 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas 56 kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965. Hakim S.M. Komathy Suppiah mengenakan denda berjumlah RM26,600 terhadap setiap pengarah syarikat tersebut, Ong Chee Weng dan Ong Chee Meng yang masing-masing berhadapan dengan sejumlah 21 tuduhan. Syarikat OCH pula didenda RM10,500 bagi 14 tuduhan yang dihadapi mengikut Seksyen 165(1) dan Seksyen 165(4) akta tersebut. Mengikut seksyen-seksyen tersebut, mereka didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sejak tahun 2001 hingga 2007 dan gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pulangan tahunan dalam tempoh seminggu selepas syarikat itu mengadakan AGM. Mereka juga disabitkan dengan kesalahan gagal membentangkan dalam mesyuarat tersebut akaun untung dan rugi dalam tempoh enam bulan sebelum AGM diadakan. Daripada jumlah denda yang dikenakan, tertuduh telah membayar RM3,700 manakala baki sebanyak RM60,000 akan dibayar secara ansuran dalam tempoh enam bulan.